PRU13: Najib Teruskan Usaha Dekati Kaum India Selangor

Datuk-Seri-Najib-Tun-Razak-565x422KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak akan meneruskan pendekatan turun padang untuk mendengar denyutan nadi masyarakat India dengan menghadiri dua majlis di Selangor hujung minggu ini.

Perdana Menteri akan menghadiri perhimpunan Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) Sabtu ini, buat julung kalinya sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 2009.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamad berkata, majlis itu akan berlangsung di pekarangan Tesco Bandar Rinching, Semenyih.

“Parti IPF adalah penyokong kuat BN dan mempunyai pengundi tetap untuk BN di Selangor. Kehadiran perdana menteri sudah pasti akan memberi suntikan semangat yang tinggi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

IPF kini diterajui presiden Datuk M. Sambanthan.

Najib, yang juga Pengerusi BN, akan menemui masyarakat India pada 13 Januari, sehari sebelum sambutan Ponggal, di pekarangan Little India, Klang. Ponggal akan disambut pada 14 Januari di seluruh negara.

Dalam lawatan itu Najib akan mengadakan majlis sembang dengan masyarakat setempat dan menghadiri sambutan ‘Pesta Ponggal Sayangi Selangor – Bersama PM’ anjuran BN Selangor di Padang Chethi, Klang bermula pukul 9.30 pagi.

Mohd Zin berkata, lawatan turun padang Najib, yang juga Pengerusi BN Selangor itu, adalah seiring dengan pegangan politiknya yang lebih terbuka iaitu menjadi perdana menteri untuk semua kaum.

Sementara itu, Mohd Zin berkata BN Selangor kini berada dalam keadaan mantap untuk menghadapi PRU13 dan lawatan perdana menteri ke Selangor akan memperkasa semangat serta keyakinan penduduk terhadap BN di Selangor.

Beliau berkata Najib juga nampak mengambil langkah radikal bagi memenangi hati dan minda 1.9 juta penduduk kaum India di Malaysia sebagai mengikut jejak langkah Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri kedua negara.

“Sokongan masyarakat India di Selangor semakin meningkat untuk BN dalam tempoh masa enam bulan ini, dan kita yakin sokongan tersebut akan menjadi semakin mantap serta bertambah menjelang PRU13,” katanya.

Mohd Zin berkata BN Selangor bersama parti-parti komponen lain telah pun menggerakkan jentera masing-masing dan akan melaksanakan beberapa pendekatan untuk menangani masalah masyarakat India di Selangor.

Beliau berkata bagi pihak masyarakat itu, mereka berasa diperlukan apabila mereka melihat perdana menteri bergaul mesra dengan mereka, serta kesanggupan BN mengakui kesilapan.

“Masyarakat India kini sedar bahawa hanya Barisan Nasional mampu mendengar segala masalah dan menyelesaikannya. Rakyat juga boleh menilai segala janji telah ditepati oleh BN di Selangor dalam tempoh empat tahun ini walaupun kerajaan negeri dikuasai oleh pakatang pembangkang,” katanya.

Mohd Zin berkata, keikhlasan perdana menteri untuk membantu masyarakat India menandakan bermulanya era keyakinan baharu atau ‘puthiya nambikei’ untuk masyarakat itu. – Bernama

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: