Umno: #KL112 Bukti Kerajaan Tunai Janji

imageBATU PAHAT – Himpunan Kebangkitan Rakyat, yang turut dikenali dengan nama #KL112, anjuran Pakatan Rakyat (PR) di ibu negara semalam menunjukkan Akta Perhimpunan Aman 2012 adil untuk semua lapisan masyarakat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pemimpin pakatan pembangkang selepas ini perlu menutup mulut daripada mengkritik akta itu kerana ia telah memberi ruang kepada mereka untuk mengadakan perhimpunan dengan lebih mudah daripada sebelum ini.

Menurutnya, hasil daripada perhimpunan itu, Pakatan Rakyat (PR) sebenarnya gagal menghormati hak rakyat apabila melanggar sebahagian daripada 27 syarat yang digariskan pihak berkuasa.

Katanya, penganjur gagal mengikut peraturan yang ditetapkan dengan membenarkan peserta membawa kanak-kanak, selain kain rentang bercorak provokatif.

“Daripada perhimpunan itu juga jelas menunjukkan bahawa pembangkang gagal menarik perhatian rakyat untuk menghimpunkan seramai satu juta orang apabila ia hanya dihadiri oleh hampir 40,000 ahli parti mereka,” katanya kepada media, semalam.

Penganjur mendakwa mereka berjaya menghimpunkan lebih 100,000 orang, dengan mengambil kira peserta yang berada di luar Stadium Merdeka.

Pengurusan Stadium Merdeka hanya membenarkan peserta 30,000 memasuki kompleks bersejarah itu.

Puad berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, pelajar sekolah, warga emas dan golongan kurang upaya bagi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bakau Condong, hari ini.

Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, perhimpunan itu juga membuktikan bahawa pembangkang kehabisan modal kerana sering menimbul isu lapuk seperti pilihan raya bersih, pelajaran percuma dan menurunkan harga minyak.

“Sebaliknya pakatan pembangkang diminta menyelesaikan dahulu masalah yang membebankan masyarakat seperti masalah air, kegagalan memberi pendidikan percuma dan wang ihsan bagi ibu tunggal di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Pakatan pembangkang tidak perlu terus menabur penipuan terhadap rakyat dengan menganjurkan pelbagai perhimpunan kerana perbelanjaan itu boleh digunakan untuk menunaikan janji-janji manis yang ditabur sebelum ini,” katanya.

Komen Naib Ketua Pemuda Umno
Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, tindakan segelintir peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat membawa kanak-kanak jelas mereka telah melanggar Akta Perhimpunan Aman.

Beliau kesal kerana peserta perhimpunan sanggup memanipulasi kanak-kanak demi kepentingan politik pihak tertentu.

Katanya, penganjur perhimpunan kononnya memperjuangkan keterbukaan dan hak rakyat tetapi ironisnya tidak mampu untuk mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.

“Saya bimbang jika tindakan diambil terhadap mereka yang melanggar akta ini akan menyebabkan rasa tidak puas hati dengan tindakan yang dikenakan sehingga menyulitkan sistem undang-undang negara.

“Kesudian kerajaan memberi ruang kepada penganjur mengadakan perhimpunan ini langsung tidak dihormati.

“Banyak pelanggaran yang dilakukan, sebagai contoh pada peringkat awal, tidak mahu berarak, tapi mereka tetap berarak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Santai dan Tabung Palestin/Gaza Bersama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Johor dan Peniaga Maharani Uptown, Muar.

Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, sebagai pemimpin muda beliau tidak menghalang apabila ada pihak mahu memperjuangkan hak, tetapi golongan terbabit perlu akur dengan hukuman yang dikenakan oleh kerajaan jika didapati bersalah.

Beliau berkata, pihaknya turut diberitahu terdapat kumpulan mahasiswa yang didapati terlibat dalam himpunan itu walaupun sudah diberi amaran.

Katanya, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dengan membenarkan mahasiswa terlibat dalam mana-mana parti politik telah dimanipulasikan oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.

“Pindaan Auku sebenarnya untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa membentuk jati diri sebagai pemimpin. Malangnya penglibatan mereka dalam perhimpunan ini tidak memberikan sebarang faedah.

“Saya harap penganjur mendapat apa yang mereka mahukan dan tidak lagi menganjurkan perhimpunan lain pada masa akan datang sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya.- Sinar Harian

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: