Muhyiddin: Yakin Rakyat Sarawak Terus Sokong BN

imageKUCHING – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat Sarawak akan terus menyokong kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Beliau berkata keyakinan tersebut berdasarkan hasil laporan yang diterima dalam taklimat tertutup persiapan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diadakan di sini, malam tadi.

“Saya tidak ragu dan lihat di negeri ini (Sarawak) hubungan rakyat dan kerajaan BN amat kuat sekali, kita mampu pertahankan kedudukan kita berdasarkan laporan yang saya terima semalam dari pimpinan di peringkat negeri berkenaan situasi semasa,” katanya dalam ucapan pada majlis santai bersama penduduk Kampung Sungai Apong Baru di Dewan Masyarakat kampung berkenaan di sini, hari ini.

Muhyiddin turut meminta kerjasama antara rakyat Sarawak dan kerajaan BN diperkukuhkan lagi bagi mengekang usaha berterusan pembangkang menyebar dakyah memburuk-burukkan kerajaan.

“Kita tahu pembangkang akan bawa macam-macam cerita tidak betul dan memfitnah kerajaan serta pemimpin BN, ini tindakan terdesak mereka lakukan kerana kita sudah dekat dengan pilihan raya.

“Saya memberi jaminan dengan sokongan rakyat, usaha memajukan negara akan diteruskan, dan Sarawak akan menjadi antara negeri terpenting dalam usaha pembangunan tersebut,” katanya.

Melalui kerjasama erat kerajaan negeri Sarawak dan Persekutuan, Muhyiddin berkata projek Medan Niaga Satok berjaya disiapkan dengan menyediakan ruang untuk lebih 2,000 peniaga kecil menjalankan perniagaan mereka.

Selain itu, perancangan untuk menggabungkan industri berasaskan pertanian dengan industri pelancongan di medan niaga ini akan turut memberikan nilai tambah kepada usaha ini, katanya.

“Sebuah projek sebegini tentulah mempunyai kesan berganda, dalam bentuk jumlah bisnes dan perniagaan yang boleh dijana,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM13.5 juta lagi bagi menambah lagi kemudahan-kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pengunjung di medan niaga ini.

Menurut Muhyiddin, kejayaan melaksanakan projek ini menjadi satu lagi bukti keupayaan kerajaan Barisan Nasional untuk menunaikan janjinya untuk membantu rakyat meningkatkan taraf hidup.

Muhyiddin berkata ketidakupayaan kerajaan-kerajaan negeri di bawah pakatan parti pembangkang untuk menunaikan janji mereka semasa pilihan raya lepas telah menyebabkan rakyat negeri-negeri berkenaan bangkit untuk menuntut janji yang tidak tertunai itu di mahkamah.

“Mahkamah sanggup nak mendengar (kes yang dibawa rakyat terhadap kerajaan-kerajaan negeri) kerana ada asas-asas yang kukuh bila sesebuah kerajaan berjanji untuk melaksanakan sesuatu (tetapi) tidak ditunaikan, bermakna dia (kerajaan berkenaan) sudah lupa janji. Dia (kerajaan itu) tidak amanah,” katanya.

Sebaliknya, kerajaan Barisan Nasional sejak beberapa tahun ini telah mengambil inisiatif yang agak luar biasa dalam soal membela nasib rakyat, katanya.

Menurutnya, isu-isu yang dibangkitkan di peringkat akar umbi tidak lagi dianggap remeh atau kecil tetapi diterima sebagai masalah rakyat yang tidak boleh diketepikan dan perlu ditangani dengan sebaik-baiknya oleh kerajaan.

“Rakyat tahu masalah mereka dan mereka mengharapkan kerajaan boleh membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya.- Bernama

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a comment