Penyokong TRW Koma Sejak 4 Bulan Lepas

imageKUALA KRAI – Seorang anak muda dari Kampung Manek Urai Lama, dekat sini, masih koma dan terpaksa bergantung kepada mesin sokongan hayat untuk meneruskan hidup selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, Oktober tahun lalu.

Nahas berlaku ketika Mohd Zulkarman Mohd Yusoff, 19, dalam perjalanan ke Stadium Shah Alam untuk menyaksikan final Piala Malaysia 2012 antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada kejadian kira-kira jam 9 pagi, 20 Oktober lalu, Mohd Zulkarman cedera parah manakala saudara dua pupunya, Muhamad Saiful Daud, 19, maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Kilometer 328, Jalan Raub-Kuala Lipis, dekat Raub, Pahang.

Ibu Mohd Zulkarman, Rohani Hussin, 57, anaknya kini terpaksa bergantung kepada mesin oksigen disambung melalui kerongkong supaya dapat terus bernafas dan mesin penyedut kahak kerana tidak boleh menelan air liur.

“Dia juga terpaksa makan dan minum melalui tiub selain terpaksa guna tilam khas.

“Mesin oksigen, penyedut kahak dan tilam dipinjam daripada Unit Khidmat Sosial Perubatan, Hospital Kuala Krai (HKK) kerana kami tak mampu nak beli,” katanya.

Menurut Rohani, akibat kemalangan itu, anaknya yang lebih dikenali dengan nama panggilan Pok terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Lumpur selama dua bulan; dua hari di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu dan 24 hari di HKK.

“Saya terpaksa keluarkan belanja tinggi untuk jaga Pok kerana dia terpaksa pakai lampin pakai buang dan susu nutrisi khas untuk pemakanan sehariannya.

“Saya hanya bergantung kepada pendapatan RM650 sebulan hasil suami menoreh dan kami masih ada tujuh lagi tanggungan termasuk Pok,” katanya yang ditemani suami, Zainal Abidin Samad.

Menurutnya, Mohd Zulkarman sepatutnya diberi susu nutrisi tujuh kali sehari atas nasihat doktor tetapi dia hanya mampu memberi nasi yang dikisar dua kali sehari kepada anaknya.

“Sejak dia balik ke rumah 15 Januari lalu, sudah tujuh tin susu khas ini saya beli tetapi sekarang, saya tak mampu lagi nak beli kerana harganya mahal.

“Unit Khidmat Sosial Perubatan HKK ada bantu saya buat permohonan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi sampai sekarang, masih tidak ada jawapan sama ada lulus atau tidak,” katanya.

Rohani berkata, anak keenam daripada lapan adik beradik itu amat meminati bola sepak, terutama pasukan The Red Warriors (TRW) malah sanggup meminjam wang daripada majikannya sehari sebelum nahas.

“Dia pinjam duit dengan majikannya sebab nak beli baju untuk dipakai masa final tempoh hari tetapi tak sempat dipakai,” katanya memberitahu, anaknya itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di bandar ini.

Sementara itu, Penyelaras Dun Manek Urai, Che Jalal Muda yang melawat keluarga itu berkata, dia akan mohon bantuan ‘one-off’ untuk pesakit kronik daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi meringankan beban keluarga terbabit.

“Insya-Allah, saya akan segera memohon bantuan ini tetapi tidak pasti berapa jumlahnya kerana bantuan JPP ini berbeza bergantung kepada keadaan pesakit,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Manek Urai Selatan, Che Din Noh pula berkata, JKM diharap dapat menyegerakan bantuan kepada Mohd Zulkarman.

“Saya difahamkan, permohonan bantuan dibuat Unit Khidmat Sosial Perubatan HKK untuk Mohd Zulkarman tergendala kerana pegawai bertanggungjawab sedang bercuti,” katanya.- Sinar Harian

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: