Suami Isteri Terima RM18,000

imageGUNUNG – Sepasang suami isteri menerima bantuan wang ehsan banjir bernilai RM18,000 apabila lebih 10 hektar hasil padinya ditenggelami air akibat banjir musim lalu.

Rahimah Ali, 51, berkata, wang itu bakal digunakan untuk tanaman semula apabila hampir 90 peratus padinya rosak ditenggelami banjir ketika musim tengkujuh Disember lalu.

“Kebanyakan padi saya sudah hampir masak dan sedia untuk dituai malangnya banjir pada akhir tahun lalu menyebabkan hampir semuanya musnah dan tidak dapat dituai.

“Alhamdulillah dengan bantuan ini saya dapat gunakan semua untuk pusingan modal musim akan datang,” katanya kepada Sinar Harian selepas menerima bantuan tersebut semalam.

Bantuan itu disampaikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan turut dihadiri Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak, Norbahani Zakaria.

Seorang lagi petani, Ibrahim Taib, 66, berkata, bantuan yang diberikan Kerajaan Persekutuan itu menunjukkan keprihatinan mereka terhadap petani.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan sentiasa memantau keperluan rakyat terutamanya golongan kurang bernasib baik untuk membantu mereka bangkit dari sebarang musibah.

Dalam majlis itu seramai 268 petani dari Bachok menerima bantuan mengikut keluasan tanaman padi dan peringkat matang padi yang rosak.

Keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan di bawah IADA Kemasin Semerak untuk diagihkan kepada petani yang mengalami kerugian musim lepas.

Selain Bachok, daerah Pasir Puteh juga berada di bawah IADA Kemasin Semerak dan agihan untuk daerah itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Manakala, Awang Adek ketika sidang medianya berkata, setiap tahun Kerajaan Persekutuan membelanjakan lebih RM30 bilion untuk subsidi pelbagai sektor termasuk subsidi minyak dan sebagainya.

Katanya, dakwaan pembangkang yang mengatakan negara akan bankrap jika terus memberikan subsidi kepada rakyat hanya suatu taktik untuk mengelirukan rakyat.

“Negara kita semakin pesat membangun dengan pelbagai sektor termasuk kelmarin apabila Perdana Menteri merasmikan sebuah projek pembangunan kerjasama dengan China di Gebeng. Semua itu untuk menjana pendapatan negara dan rakyat.

“Mereka kata begitu (bankrap) kerana jika mereka ambil alih kelak, segala bentuk bantuan ini akan dihapuskan. Jadi mereka tidak perlu lagi beri bantuan atau subsidi kepada rakyat jika mereka berkuasa sedangkan ramai lagi rakyat yang tidak bernasib baik memerlukan pembelaan dan bantuan dari semasa ke semasa,” katanya. – Sinar Harian

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: