Mubarak Perak: Dendam Punca Pas Tolak Pelawaan Umno Bersatu

PERAKTODAY167IPOH – Penyatuan Pas dan Umno hampir berlaku di Perak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dengan membentuk kerajaan negeri secara bersama.

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Perak, Datuk Saharuddin Abd Jabbar berkata, penyatuan yang diharapkan bagaimanapun ditolak mentah-mentah oleh Pesuruhjaya Pas Perak ketika itu, Ahmad Awang.

Menceritakan detik-detik yang hampir mencipta sejarah itu, beliau bersama empat lagi pimpinan tertinggi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) ketika itu mengadakan pertemuan di Pejabat Perhubungan Pas Perak pada Mac 2008.

“Ketika kami sampai di pejabat Pas, kami disambut dengan baik malah sempat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

“Selepas solat, kami memulakan rundingan berkenaan. Malangnya, Ahmad bertegas tidak mahu bekerjasama dengan Umno sebaliknya rela bersama DAP,” katanya .

Beliau berkata, ketika penolakan dibuat, kumpulan rundingan itu begitu kecewa kerana mereka membawa hasrat besar ke arah perpaduan orang Melayu dan Islam.

Menurutnya, merujuk kepada rundingan itu, ia dilihat menguntungkan Pas kerana dalam tawaran berkenaan, jawatan menteri besar diberikan kepada Pas selain kesemua wakil rakyat parti berkenaan diberikan jawatan exco.

Bagaimanapun katanya, Umno tetap memberikan jawatan itu bagi memastikan perpaduan dan penyatuan Islam berjaya terbentuk.

“Kami sedih dan sangat kecewa dengan penolakan tersebut memandangkan Umno ikhlas untuk menawarkan kerjasama dengan Pas.

“Apa yang saya lihat, penolakan Pas Perak itu lebih bersifat dendam dan mahu melihat kejatuhan Umno tanpa memikirkan kesan buruk terhadap tindakan itu,” katanya.

Menurutnya, beliau sendiri tidak pernah mendedahkan perkara ini, tetapi melihat kepada titah Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah, kerjasama yang pernah dicadangkan itu perlu didedahkan untuk kesedaran orang Islam.

Menurutnya, Umno begitu komited dan bersungguh-sungguh mahukan orang Islam bersatu padu, malangnya Pas menolak perkara baik itu.

“Umno sehingga kini masih membuka ruang untuk Pas bersatu dan bermuzakarah bagi mengangkat martabat bangsa dan agama,” katanya.

Mengulas titah Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah, beliau menjunjung kasih atas titah berkenaan.

Baginya, titah Tuanku itu membawa pe-ngertian yang cukup besar terhadap masa depan umat Islam di negara ini.

“Titah Tuanku adalah dari hati dan sanubari sebagai seorang raja yang jelas bimbang dengan perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang-orang Melayu Islam.

“Apa yang dititahkan itu adalah untuk memberikan kesedaran kepada orang Melayu betapa petingnya perpaduan demi agama Islam,” katanya.

Saharuddin berkata, usaha penyatuan telah pun dimulakan oleh Umno tetapi ditolak oleh Pas dengan alasan Umno tidak ikhlas dan terdesak.

Katanya, jika umat Melayu bertelagah, pasti ada pihak lain yang akan mengambil kesempatan sehingga menyebabkan berlaku perkara yang tidak diundang.

Katanya, orang Melayu harus kuat untuk memastikan kaum-kaum lain hidup dalam keharmonian kerana majoriti masyarakat di negara ini terdiri daripada orang-orang Melayu. – Sinar Harian

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: