Banyak Kerosakan Akibat Banjir

imageKUALA KRAI – Banjir melanda daerah ini sebanyak tiga kali pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini menyebabkan banyak jalan serta kemudahan awam rosak sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk terlibat.

Pengurus Wilayah, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) wilayah ini, Zulkifli Ab Rahman berkata, pihaknya menyedari kesukaran dihadapi rakyat akibat kerosakan itu dan tindakan bagi mengatasinya sudah diambil.

“Kesedar sedang buat senarai dan anggaran kos bagi memohon peruntukan untuk melaksanakan projek baik pulih jalan dan kemudahan awam yang rosak, seboleh-bolehnya dalam tahun ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa laporan akhbar ini sejak awal tahun mengenai aduan penduduk tentang kerosakan jalan dan jambatan akibat banjir.

Minta peruntukan tambahan

ZULKIFLI berkata, Kesedar memperuntukkan hampir RM1 juta daripada peruntukan semasa agensi itu bagi melaksanakan projek baik pulih jalan dan kemudahan awam di seluruh Parlimen ini, tahun ini.

Katanya, kebanyakan projek baik pulih kemudahan asas dimohon sebelum ini sudah disenaraikan untuk dilaksanakan di bawah peruntukan berjumlah RM900,000 itu.

“Sekarang sedang dalam proses melantik kontraktor dan projek baik pulih melibatkan peruntukan ini (RM900,000) dijangka siap selewat-lewatnya Jun 2013.

“Kita sudah mohon juga peruntukan tambahan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menampung keperluan membaiki jalan perhubungan desa dan jalan pertanian yang rosak,” katanya.

Kerja ladang punca tenggelam

MENGULAS laporan akhbar ini mengenai masalah 15 keluarga di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Chuchuh Puteri A selepas laluan utama mereka digenangi air sungai, Zulkifli berkata, tindakan susulan sudah diambil.

“Kita sedang buat anggaran kos untuk atasi masalah tersebut dan akan cuba laksanakan secepat mungkin atau selewat-lewatnya pada 2014 kerana sekarang, kita sedang laksana dua projek pembangunan di RPT Chuchuh Puteri,” katanya.

Menurutnya, dua projek menelan kos RM150,000 itu ialah kerja menurap jalan sepanjang dua kilometer dan projek menggantikan jambatan kecil yang runtuh dengan pembetung besar.

Selain banjir, katanya, pihaknya menyedari kebanyakan jambatan dan pembetung di kampung serta jalan pertanian termasuk di Chuchuh Puteri rosak disebabkan pembangunan ladang oleh pihak swasta.

“Kerja pembangunan ladang di kawasan bukit menyebabkan berlaku hakisan dan himpunan pasir dalam sungai hingga air jadi cetek. Di setengah tempat, paras air sungai jadi lebih tinggi dan menenggelamkan jambatan,” katanya.

Nasib 400 murid terbela

MENGENAI nasib kira-kira 400 murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gajah yang terdedah risiko kemalangan apabila terpaksa melalui jalan rosak untuk berulang-alik ke sekolah pula, Zulkfili berkata, masalah itu dijangka selesai tidak lama lagi.

Katanya, selepas membelanjakan RM130,000 bagi menurap sebahagian jalan Pasir Gajah-Kuala Pertang tahun lalu, Kesedar meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 bagi menurap keseluruhan laluan berkenaan.

“Sebelum ini, kita mulakan projek baiki jalan dalam dulu sepanjang 1.3 kilometer dan untuk peruntukan tambahan ini, kerja melibatkan laluan di sebelah luar sepanjang satu kilometer termasuk di kawasan sekolah,” katanya.

Menurutnya, projek di bawah peruntukan tambahan itu dijangka siap akhir April nanti dan kini dalam proses akhir untuk dimulakan selepas kontraktor projek baru sahaja dilantik. – Sinar Harian

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: