Rakyat Teruja PM Tepati Janji

wt_01.1KOTA BHARU  – Sebanyak 20,000 borang permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu habis diedarkan dalam masa beberapa minit sahaja, membuktikan rakyat negeri ini amat memerlukan kemudahan itu untuk keselesaan keluarga masing-masing.

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada borang yang telah diedarkan selepas Majlis Pecah Tanah projek itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Wakaf Mek Zainab dekat sini semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan rumah tersebut berkeluasan 213 meter persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air yang dibina dengan kos kira-kira RM160,000 seunit itu hanya akan dijual pada harga RM35,000 seunit selepas kerajaan memberi subsidi sebanyak RM125,000.

Kemudahan rumah rakyat mampu milik sememangnya menjadi idaman hampir seluruh rakyat ini sejak puluhan tahun lalu, tetapi tidak kesampaian apabila kemudahan itu tidak pernah disediakan oleh kerajaan negeri meskipun diberi mandat memerintah selama 22 tahun.

Seorang penduduk yang ditemui, Azhar Ali, 41, sanggup berebut untuk mendapatkan borang bagi memiliki kemudahan tersebut, melahirkan rasa terharu terhadap tanggungjawab Kerajaan Persekutuan yang begitu peka dengan aspirasi rakyat negeri ini.

“Kami sekeluarga belum ada rumah sendiri. Hidup dengan menyewa sejak 17 tahun lalu. Jadi saya amat berharap rezeki akan menyebelahi kami untuk memiliki rumah sendiri dengan kemudahan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Gan Han Chuan, 45, berkata, rakyat negeri ini sememangnya amat memerlukan kemudahan rumah mampu milik tersebut memandangkan kebanyakan rakyat negeri ini berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kerajaan perlu menyediakan lebih banyak borang permohonan kerana 20,000 borang hari ini tidak mencukupi,” katanya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan hari ini membuktikan ketelusannya dengan menepati janji yang diumumkan 20 Januari lalu.

Najib semasa melancarkan Program Jelajah Janji Ditepati peringkat Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu pada 20 Jan lalu, mengumumkan tujuh projek besar untuk memajukan Kelantan.

Antara janji itu ialah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bahru, membina masjid terbesar yang bakal menjadi ikon di negeri ini, stadium baharu, 3,000 unit perumahan rakyat dan pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bahru.

Seorang lagi penduduk Kota Bharu, Amir Mukhtar, 23, berkata, janji yang ditunaikan dalam masa terdekat ini menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap keadaan rakyat di negeri ini.

Dia berkata, sejak Perdana Menteri mengumumkan projek rumah rakyat untuk orang Kelantan pada Januari lalu, seluruh rakyat khususnya di Kota Bharu ternanti-nanti pelaksanaannya.

“Sememangnya inilah saat yang ditunggu-tunggu. Tidak sangka Perdana Menteri akan tunaikan janjinya itu secepat ini,” katanya.

– UTUSAN

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: