Henti Politikkan Status Syahid

dn_06.1PUTRAJAYA  – Perdana Menteri mempersoalkan niat pucuk kepimpinan parti pembangkang yang sehingga kini masih lagi mempertikaikan status kematian anggota keselamatan beragama Islam dalam menentang pencerobohan pengganas Sulu di pantai timur Sabah itu.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sikap itu amat bercanggah dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam pada 6 Mac lalu yang memutuskan mereka itu tergolong dalam mati syahid akhirat kerana mempertahankan nyawa, harta, keluarga, maruah dan kedaulatan negara.

”Dua hari lepas, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib menganggap kematian anggota keselamatan itu dikategorikan syahid dunia sahaja kerana tidak jelas niat sebenar mereka dan ini bercanggah dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa itu.

”Kita rasa kesal kerana dalam soal kematian syahid pun nak dipolitikkan dan nak bercanggah pula dengan keputusan jawatankuasa itu. Persoalannya, apakah agenda sebenar pihak pembangkang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Menunaikan Fardu Haji Kepada Calon Program Khas Haji 1434/2013M Tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Yayasan 1MDB, Datuk Shamsul Anuar Sulaiman.

Tahun ini, seramai 400 imam dan 400 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) terpilih mengikuti program tersebut.

Sebelum ini, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengeluarkan kenyataan mempersendakan tragedi berdarah di Lahad Datu, Sabah dan memperkecilkan pengorbanan pasukan keselamatan.

Najib berkata, sekarang bukan masa untuk menjadikan isu kedaulatan negara, nyawa pasukan keselamatan dan maruah sebagai bahan politik kepartian masing-masing.

”Inilah masanya, setiap rakyat tanpa mengira ideologi politik menunjukkan kesetiaan kepada negara dan menyokong penuh anggota keselamatan kita yang sedang berjuang menentang pencerobohan tentera Sulu di pantai timur Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan telah menggunakan konsep wasatiyyah sebagai asas utama dalam menyelesaikan isu pencerobohan tentera Sulu itu.

Beliau berkata, kerajaan tidak terburu-buru dalam menyelesaikan isu tersebut meskipun mereka menceroboh dengan senjata api kerana tidak mahu berlaku pertumpahan darah, khususnya sesama Islam.

”Sebaliknya apabila peluang yang diberikan tidak dibalas dan kita pula yang diperangi oleh mereka, maka masa itu, wajib untuk kita menentang mereka.

”Ini selaras dengan hukum dalam Islam setelah kita beri peluang untuk mencari jalan kedamaian tetapi pihak berkenaan isytihar perang, maka wajib bagi kita pertahankannya dan itu prinsip Islam yang tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun,” katanya.

Menyentuh mengenai majlis tersebut, Najib berkata, program Khas Haji itu mencatatkan sejarah tersendiri ekoran pertambahan jumlah calon walaupun baru tiga tahun dilaksanakan.

Beliau berkata, pada tahun pertama, jumlah calonnya adalah 111 orang dan tahun kedua pula mencecah 400 orang manakala pada tahun ini meningkat kepada 800 orang.

”Adalah menjadi hasrat saya supaya dua kumpulan penting dalam susunan pentadbiran di peringkat akar umbi berpeluang mengerjakan fardu haji,” katanya. – UTUSAN

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: