Hudud Pas Kelantan Terus Dilingkari Persoalan

a264

Oleh RAITINI RAHMAN & AMIRUL HAFIZ

KOTA BHARU – Janji kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud terus menjadi persoalan apabila kerajaan itu masih menangguhnya dengan alasan untuk mendapatkan pandangan dan rujukan pakar berhubung perkara berkaitan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ia disebabkan wujudnya dua pendapat dari sudut perlembagaan.

“Ia disebabkan mungkin wujud halangan dari segi Perlembagaan memandangkan ada yang kata boleh dilaksanakan tanpa melanggar Perlembagaan dan ada pula yang kata tidak boleh.

“Kita juga tengah melihat apa yang boleh kita buat sebab itulah kita perlu bincang lebih mendalam mengenainya,” katanya kepada DetikPerubahan.com di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perlaksanaan hukum hudud yang dijanjikan kerajaan Pas Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu.

Pelaksanaan hukum hudud menjadi bahan utama Pas Kelantan semasa kempen Pilihan Raya Umum 1990.

Pada 1993 Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan diluluskan melalui sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), sebaliknya menjadi isu apabila  sampai sekarang ia masih gagal dilaksanakan.

Mohd. Amar berkata, perkara asas berhubung perkara tersebut (perlaksanaan hukum hudud) telahpun selesai, dan Jawatankuasa Teknikal Hudud kerajaan Pas yang ditubuhkan dua tahun lalu telah bermesyuarat sebanyak dua kali bagi memperkemaskan struktur perlaksanaannya.

“Sekarang ini kita nak pergi lebih detail sebab itulah kita sedang membuat dan mendapatkan rujukan daripada pakar berhubung perlaksanaannya,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud Kelantan, Datuk Ahmad Yakub menegaskan, kerajaan negeri sentiasa konsisten dalam perkara ini (pelaksanaan hudud) dan ia bukan satu retorik.

Beliau dilaporkan berkata, ia satu perancangan serius kerajaan pimpinan Pas dan kita tetap komited (untuk melaksanakan hukum Islam itu) biarpun ada pihak cuba memberi pelbagai persepsi di sebaliknya.

Namun apa yang pasti segelintir masyarakat negeri ini dilihat telah mula hilang keyakinan terhadap kerajaan Pas dalam isu berkenaan yang sehingga kini belum nampak tanda-tanda ia akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Malah, ada yang menyifatkan hudud sudah menjadi isu lapuk selain dianggap sebagai umpan bagi meraih sokongan pengundi setiap kali menjelang pilihan raya.

Dalam perkembangan berkaitan, bulan lalu bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya mendedahkan nama dan kelulusan pakar yang terlibat dalam penyediaan draf kanun jenayah tersebut.

Desakan itu dibuat setelah didakwa wujud kekeliruan draf tersebut disediakan oleh tenaga pakar berkaitan.

Tags: ,

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: