100 Bendera BN Musnah Akibat Perbuatan Khianat

Rosli Mohd. Noor menunjukkan sebahagian bendera Barisan Nasional yang dirosakkan di Kampung Kuau.

Rosli Mohd. Noor menunjukkan sebahagian bendera Barisan Nasional yang dirosakkan di Kampung Kuau.

Oleh HANA MARYAM

BACHOK – Akibat perbuatan khianat pihak yang tidak bertanggungjawab lebih 100 bendera Barisan Nasional (BN) yang dipasang di sepanjang jambatan Datuk Dr. Awang Adek Hussin di Kampung Kuau, dekat sini musnah awal pagi ini.
Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Kuau, Rosli Mohd. Noor berkata, kejadian terbabit disedari penduduk kira-kira jam 7 pagi ini setelah mendapati sebahagian bendera dihanyutkan arus di Sungai Kemasin.
“Tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang diikat pada pagar jambatan terbabit sengaja dipatahkan dan sebahagian lagi dicampakkan ke dalam sungai Kemasin manakala sebahagian lagi dicampakkan ke dalam anak sungai yang berdekatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
“Kami telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok kira-kira jam 9.30 pagi. Kmai minta agar siasatan segera dilakukan untuk mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan sedemikian yang boleh membangkitkan kemarahan penyokong UMNO di kampung berkenaan.
Beliau berkata, ia isu sensitif yang boleh mencetus perbalahan sesama sendiri sekiranya gagal ditangani dengan pendekatan yang terbaik.
“Saya yakin perbuatan ini dilakukan secara berkumpulan pada awal pagi dengan motif dengki atau terlalu fanatik terhadap parti politik yang disokong. Pada pukul 12 malam tadi bendera itu masih terpasang rapi di kiri dan kanan pagar jambatan dan saya percaya ianya dirosakkan pada awal pagi,” katanya.
Sebagai pemimpin masyarakat, Rosli menasihatkan kedua-dua belah pihak supaya bijak berpolitik tanpa perlu mencetuskan suasana yang tegang termasuk tindakan merosakkan bendera parti tertentu.
Beliau berkata, pemimpin parti politik setempat termasuk ketua-ketua cawangan kedua-dua belah pihak perlu saling menasihati penyokong atau jentera parti masing-masing supaya tidak bertindak di luar batasan, saling hormat menghormati dan tidak mencanang sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Kikiskan sifat dengki dan perasaan saling mencurigai. Pilihan raya perlu dijalankan untuk memilih pemimpin dan kepimpinan berasaskan amalan demokrasi negara. Kesederhanaan dan tidak fanatik perlu menjadi amalan agar masyarakat di mukim ini tetap utuh perpaduannya walau pun wujud perbezaan fahaman politik,” katanya.
Seorang penduduk, Sidek Mat Deris, 64, berkata pemimpin Pas yang bertunjangkan perjuangan Islam seharusnya mampu mentarbiahkan penyokong mereka dengan teladan yang baik dan tidak bertindak mencari peluang untuk merosakkan bendera BN yang di pasangkan di jambatan berkenaan.
“Nasihat pekerja parti dan budak-budak Pas supaya tidak mengusik bendera BN kerana kita tidak pernah merosakkan bendera Pas walaupun dipasang tegap di kedua-dua tiang utama jambatan itu kerana kami dinasihatkan supaya berpolitik secara bijaksana,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab. Rahim Che Ghani ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Tags: ,

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a comment