Wang Ihsan RM1,000 Untuk Penduduk 5 kampung Lahad Datu

imageLAHAD DATU – Seramai 370 penduduk dari lima kampung yang terjejas akibat insiden pencerobohan pengganas Sulu, menerima bantuan wang ihsan RM1,000, sumbangan kerajaan persekutuan hari ini.

Sumbangan kepada ketua keluarga dari Kampung Sungai Bilis, Kampung Sungai Merah, Kampung Lok Sambuang, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian itu disempurnakan anggota Dewan Undangan Negeri Tungku Datuk Mohd Suhaili Said di perkarangan pejabat urusetia daerah kecil Tungku, dekat sini.

Hadir sama Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara bagi Sabah Rodzi Md Saad.

Mohd Suhaili dalam ucapannya berkata walaupun sumbangan itu tidak dapat mengembalikan segala kerugian yang ditanggung penduduk berkenaan, tetapi sedikit sebanyak, tentunya mampu membantu mengatasi kesusahan yang ditanggung.

“Pemberian ini ialah manifestasi tanda kasih sayang dan keprihatinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat walau kita tahu jumlah yang diberi kecil berbanding penderitaan yang dialami penduduk,” katanya.

Pemberian wang ihsan itu ialah sebahagian daripada tiga bentuk bantuan yang diumum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Mac lepas bagi membantu penduduk tempatan yang menjadi mangsa akibat insiden pencerobohan itu.

Selain bantuan ihsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, kerajaan turut menyediakan bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar.

Mengenai Kampung Tanduo yang ditutup daripada menjadi kawasan kediaman, Mohd Suhaili berkata semua penduduk akan ditempatkan sementara di Projek Perumahan Rakyat Masej Nala, kira-kira 60 kilometer dari kampung itu, dan tanah kampung berkenaan diserah untuk pembangunan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom).

“Bagi penduduk yang memiliki tanah, mereka tidak perlu bimbang, kami tahu perumahan rakyat itu tidak sepadan dengan apa yang mereka miliki sebelum ini tetapi itu hanya sementara, kerajaan akan sediakan petempatan baharu yang bertanah untuk mereka selepas ini,” katanya.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib memaklumkan bahawa Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan militan, ditutup ekoran terjejas teruk dalam insiden pencerobohan itu.

Mohd Suhaili berkata satu kajian juga akan dijalankan bagi mengenal pasti petempatan baharu untuk penduduk kampung yang terjejas dalam insiden pencerobohan itu.

Mohd Suhaili yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Sabah berkata kajian yang dijangka siap dalam tempoh tiga bulan itu penting bagi membolehkan kerajaan menyusun semula petempatan masyarakat kampung yang terjejas.

“Dalam kajian itu, pegawai daerah akan menentukan 120 hektar tanah untuk petempatan baharu di tanah kerajaan bagi membina kawasan perumahan dan pekan yang mampu merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk dan secara tidak langsung dapat membasmi kemiskinan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk menempatkan penduduk dari Kampung Tanjung Batu dan Tanjung Labian di satu petempatan baharu yang akan diputuskan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun katanya pembangunan kawasan petempatan baharu itu yang akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti klinik kesihatan, surau dan tadika memerlukan sedikit masa untuk disiapkan. – Bernama

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: