Peniaga Pasar Malam Dianaktiri?

wt_01.1KOTA BHARU – Suasana malam di bandar yang terkenal dengan gelaran ‘Serambi Mekah’ ini sentiasa meriah dengan kewujudan pasar malam Parit Dalam di sini.

Sejak dibuka lebih 30 tahun lalu, pasar malam berkenaan tidak pernah lekang dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat di bandar itu dan juga pelancong asing.

Terletak berhampiran Pasar Siti Khadijah serta dilingkungi dengan pusat beli-belah terkenal seperti Parkson, The Store, Giant serta beberapa lagi, kewujudannya jelas menambah keceriaan bandar ini.

Malah, kewujudan pasar malam ini juga sedikit-sebanyak telah membantu para peniaga di sini yang 100 peratusnya terdiri daripada orang Melayu untuk menjana pendapatan.

Namun, setelah berpuluh-puluh tahun menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan, kira-kira 120 peniaga di sini mula mengalami episod duka sejak tahun 2009.

Sejak dari tempoh itu, nasib peniaga di situ diibarat seperti ‘digantung tanpa tali’ apabila perniagaan yang diusahakan selama ini tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

Lebih menyedihkan, para peniaga kawasan itu juga terus dibiarkan menjalankan perniagaan tanpa diperbaharui lesen.

Tempoh tersebut juga menyaksikan mereka terpaksa berjuang mempertahankan perniagaan yang diusahakan selama ini walaupun terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan cabaran.

Difahamkan, tindakan kerajaan negeri tidak mengiktiraf kawasan berkenaan dan tidak memberikan lesen kepada para peniaga sejak empat tahun lalu disebabkan keengganan mereka berpindah ke lokasi baharu di hadapan pasar raya Tesco Lembah Sireh.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah bertindak menganaktirikan para peniaga di situ apabila mengisytiharkan Jalan Kebun Sultan sebagai kawasan Haji Cheng Ho China Town.

Tindakan itu jelas menambah luka di hati peniaga yang tidak diberi keistimewaan yang sama walaupun sudah lama menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

Seorang peniaga, Raihan Hamzah, 43, berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengiktiraf kawasan ini seperti mana Jalan Kebun Sultan dan segera memberikan lesen kepada peniaga.

Katanya, para peniaga terus dibiarkan berniaga tanpa lesen dan kesannya menyukarkan mereka untuk mendapatkan pinjaman bank bagi mengembangkan perniagaan.

“Sudah lebih 30 tahun pasar malam ini wujud dan menceriakan pusat bandar ini dengan kehadiran pelancong dan orang ramai di situ dan seharusnya kawasan ini diiktirafkan.

“Mengapa di Jalan Kebun Sultan boleh diiktiraf sebagai China Town, tetapi bukan di sini yang hampir 100 peratus peniaganya adalah orang Melayu yang sudah berpuluh-puluh tahun menjalankan perniagaan di sini?” katanya.

Seorang lagi peniaga, Arifin Salem, 60, berkata, dia memohon kerajaan negeri memberikan lesen kepada para peniaga dan tidak lagi mengarahkan mereka berpindah ke lokasi baharu.

Katanya, pasar malam ini sudah sinonim dengan rakyat negeri ini dan menjadi tumpuan sejak tahun 1970 lagi, mengapa harus ditukar kepada lokasi baharu yang ternyata sangat suram?

“Berniaga di kawasan bandar seperti ini mampu menjana pendapatan, sekiranya berpindah, saya pasti perniagaan ini akan merosot dengan teruk,” katanya.

Shamsudin Zakaria, 53, berkata, para peniaga sudah beberapa kali menghantar surat kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) untuk mengadakan perbincangan tentang nasib mereka, namun malangnya tidak pernah dilayan.

Katanya, pihaknya juga sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk berjumpa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi tidak mampu juga untuk membela nasib mereka di sini.

“Kita bukan mahu meminta lebih, kita hendak kerajaan negeri segera mengiktiraf tempat ini dan memberikan lesen kepada para peniaga,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Peniaga-Peniaga Bumiputra Pasar Malam Parit Dalam (PPMPD), Nik Rashid Nik Ismail berkata, kerajaan negeri sepatutnya melayan para peniaga di sini dengan adil. bukannya bertindak mengetepikan mereka.

Katanya, sekiranya Jalan Kebun Sultan sudah diiktiraf sebagai kawasan Haji Cheng Ho China Town, mengapa kawasan ini juga tidak diberikan pengiktirafan yang sama?

Ujarnya, China Town bertapak tidak sampai 10 tahun jika dibandingkan dengan kewujudan pasar malam Parit Dalam yang sudah 30 tahun. Mengapa China Town sahaja yang diiktiraf?

“Tindakan kerajaan negeri ini sangat keterlaluan. Ini hanya gimik politik mereka untuk menarik sokongan pengundi Cina terutamanya menjelang pilihan raya tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: