10,000 Dijangka Sertai Kayuhan Patriotik Bersama PM Esok

imagesPUTRAJAYA – Tiba Rabu, waima Dewan Rakyat bubar atau tidak, genap tempoh Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan perdana menteri Malaysia keenam selama empat tahun, dan beliau memilih ulang tahun hari berkenaan untuk memeriahkan acara ‘Kayuhan Patriotik 1Malaysia@Putrajaya’.

Seramai 10,000 orang dijangka menyertai kayuhan bersama perdana menteri dan anggota kabinet mengelilingi sekitar kawasan pusat pentadbiran negara itu esok, ketika tarikh pilihan raya umum ke-13 negara masih misteri.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Dr Mohd Ghani Mohd Yusof berkata perdana menteri sendiri yang mencetuskan idea program kayuhan itu, sebagai lanjutan kepada acara ‘Jom Ceria Bersama Perdana Menteri’ pada 24 Mac lepas.

Dr Mohd Ghani yang juga urusetia program berkata ia selaras dengan penekanan yang diberikan Najib mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif serta sihat, di samping menarik perhatian orang ramai menikmati kesejahteraan, kemakmuran dan keindahan Putrajaya.

Katanya sehingga kini lebih separuh daripada jumlah sasaran peserta sudah mendaftar untuk menyertai acara yang dibahagikan kepada laluan ‘ceria’ 12 km dan laluan ‘cergas’ 20 km itu.

Beliau berkata mereka yang sudah mengesahkan penyertaan itu terdiri daripada kalangan warga pelbagai kementerian di sini, anggota pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, wakil-wakil komuniti, dan juga orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat.

Mohd Ghani berkata pihaknya masih menerima banyak pengesahan penyertaan dari pelbagai pihak, dan ini belum mengambil kira jumlah peserta yang akan tampil sendiri bagi menyertai kayuhan esok tanpa membuat pengesahan awal.

“Kami menyediakan 5,000 basikal untuk orang ramai yang berhasrat menyertai program ini, namun ia disediakan dengan ketetapan ‘siapa dulu dia dapat’, dan orang ramai digalakkan datang membawa basikal sendiri,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya itu berlangsung dalam suasana ketika seluruh ahli politik negara sedang berkira-kira mengenai tarikh pilihan raya yang semakin hampir, memandangkan hujung bulan ini ialah tarikh tamat tempoh parlimen.

Acara kayuhan sekitar Putrajaya merupakan acara bulanan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, manakala program ‘Jom Ceria di Putrajaya’ pula diperkenalkan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat sebagai acara bulanan bagi memeriahkan lagi Putrajaya.

Teka-teki tarikh pilihan raya memuncak sejak minggu lepas apabila perdana menteri mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin Barisan Nasional negeri dan parti-parti komponen BN.

Namun Najib tetap menyelitkan unsur santai dan ‘cool’ dalam aktivitinya, dengan yang terbaharu membawa keluarganya makan tengah hari di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota dua hari lalu di tengah-tengah kesesakan orang ramai.

Mohd Ghani berkata semalam Ahmad Shabery dan Aseh mengetuai sekumpulan 200 penunggang basikal mengelilingi kawasan sekitar Putrajaya, sebagai acara ‘pemanas badan’ untuk program kayuhan esok.

Menurutnya petang ini juga sekumpulan penunggang sudah merancang untuk sekali lagi berkonvoi bagi acara pemanas badan, dengan semangat para peserta nampak ceria dan berkobar-kobar.

Tinjauan mendapati sekitar kawasan permulaan dan tamat acara kayuhan sudah mulai sibuk dengan pelbagai persiapan, dengan beberapa penunggang basikal sudah mula berkayuh meninjau laluan. – Bernama

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: