Kit Siang Mahu Semua Pemimpin Pakatan Pembangkang Henti Keluar Kenyataan

limkitsiang_johor_1JOHOR BAHRU: Ahli veteran DAP, Lim Kit Siang meminta semua pemimpin parti itu dan rakan sekutu dalam pakatan pembangkang berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan peluang mereka untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Lim, calon DAP bagi Parlimen Gelang Patah berkata demikian ketika pertelingkahan sesama sendiri di antara pemimpin DAP dan PKR Johor semakin memuncak berhubung isu pembahagian kerusi dalam pilihan raya kali ini.

“Saya seru semua di dalam DAP, pemimpin, ahli dan di dalam pakatan supaya hanya fokus kepada satu matlamat dan bermula hari ini berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh digunakan untuk melemahkan matlamat kita ini.”

“Kita perlu hentikannya. Jawapan saya sangat jelas, sekarang hentikan semuanya dan fokus kepada musuh utama,” katanya kepada pemberita di pejabat kempennya di Taman Ungku Tun Aminah di sini, hari ini.

Kenyataan Lim itu merujuk kepada perbalahan antara Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau dengan pemimpin kanan DAP Johor iaitu bekas anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Senai, Ong Kow Meng.

Perbalahan kedua-dua pemimpin DAP Johor itu berpunca akibat rasa tidak puas hati Ong terhadap keputusan Dr Boo dalam isu pemilihan calon DAP bagi PRU13 di Johor.

Semalam, Ong di dalam sidang medianya juga mahukan Pengerusi DAP itu meletak jawatan.
Selain itu baru-baru ini, Dr Boo bersama-sama timbalannya Norman Fernandez dan Tan Chen Choon turut meletak jawatan di dalam jawatankuasa pemilihan calon kerana tidak berpuas hati terhadap keputusan DAP pusat menghantar beberapa “calon payung terjun” ke Johor.

DAP Johor turut bertelingkah dengan rakan pembangkang mereka, PKR kerana berebutkan beberapa kerusi termasuk Parlimen Gelang Patah, DUN Johor Jaya dan Parlimen Segamat.

Fernandez dua hari lalu, menyifatkan penyerahan kerusi tradisi DAP di Segamat kepada PKR untuk ditandingi Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai suatu “pengkhianatan”.

Lim tidak menafikan parti pembangkang di dalam pakatan berbeza pendapat, tetapi ia bukan hanya berlaku di kalangan pembangkang malah turut berlaku di mana-mana saja.

Lim mahukan semua pemimpin DAP dan pakatan pembangkang melupakan seketika perbalahan sesama sendiri dan menumpukan usaha menghadapi PRU13. – BERNAMA

Tags:

Categories: Berita

Subscribe

Subscribe to our RSS feed and social profiles to receive updates.

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: